Selain dari menjadi kelab penyokong bola sepak untuk pasukan Manchester United, Mymanutd.com juga mempunyai akitiviti-aktiviti lain yang dijalankan bersama ahli-ahli kelab. Baru-baru ini, pada hari Selasa yang lepas, sebahagian kecil ahli-ahli Mymanutd yang berada di dalam kawasan atau berhampiran dengan Putrajaya telah mengadakan satu aktiviti bowling di Alamanda, Putrajaya.
Aktiviti itu telah diusahakan oleh ahli-ahli yang tinggal di dalam kawasan Putrajaya seperti Mphyruz dan Wakslee. Aktiviti itu dijalankan selepas waktu kerja iaitu pada malam Selasa, bersamaan 17hb Mac 2009. Seperti yang telah dirancangkan dan dipersetujui di dalam forum, aktiviti bermula jam 9.00 malam. Namun disebabkan masalah yang tidak dapat dinyatakan di sini, sedikit kelewatan telah berlaku dan acara bermula hampir jam 10.00 malam.
Antara ahli lain yang turut hadir pada malam itu adalah Pisco, Rushdi, Purnama (bersama anaknya), Ejal, Hazique, Fuhr, Azrieuse, Hairul78, Ptr Kerol, December in Death, Igniz11 (Ijan), Fa.Nadya (penyeri majlis), dan Aneep (blogmaster). Walaupun kedatangan agak ramai pada malam tersebut, pihak yang bertanggujawab menjayakan aktiviti ini hanya mampu mendapatkan dua lorong sahaja kerana faktor kelewatan dan jumlah pengunjung yang agak ramai.
Setelah mendapat dua lorong, pembahagian nama dilakukan kepada 2 kumpulan. Memandangkan Purnama tidak beraksi, jumlah pemain yang ada ialah 14 orang. Seperti yang dirancangkan, setiap pemain hanya akan bermain untuk dua set kerana kesuntukan masa dan tempat. 7 orang untuk satu lorong memakan masa hampir sejam untuk dihabiskan satu set.
Walaupun tempoh yang lama diambil untuk mengabiskan satu pusigan 7 pemain, keseronokan dapat dirasai semua yang hadir pada malam itu. Pelbagai aksi dan gaya ditunjukkan oleh setiap pemain. Ada pemain-pemain yang sememangnya berbakat dan ada yang baru hendak menunjukkan bakat terpendam. Aksi-aksi kelakar seperti lontaran yang terus menuju ke longkang atau lontaran ke belakang membuatkan suasana bertambah ceria dan menghiburkan. 
Kiraan mata keseluruhan bagi kedua-dua set telah diambil kira pada akhir perlawanan dan carta kedudukan menunjukkan juara pada malam itu adalah Igniz dengan pungutan 251 jatuhan pin. Tempat kedua dikongsi bersama oleh Mphyruz dan Aneep dengan pungutan 238 jatuhan pin. Tempat ketiga pula diduduki oleh Wakslee dengan beza 1 jatuhan pin sahaja, iaitu 237 jatuhan pin. Manakala pungutan jatuhan bagi pemain-pemain yang lain adalah Azrieuse (234), Pisco (225), Kero (221), Fuhr (216), Rushdi (202), Hazique (175), Hairul (173) dan Fa (150). Dua lagi pemain yang datang agak lambat hanya sempat bermain 1 set dengan pungutan jatuhan pin masing-masing ialah December (101) dan Ejal (97).
Aktiviti bowling tamat kira-kira jam 12.00 tengah malam. Selepas aktiviti, ada sebahagian daripada ahli terus pulang ke rumah kerana perjalanan pulang yang agak jauh dan sebahagian lagi telah berhenti seketika di kedai mamak untuk menyejukkan tekak sebelum pulang ke rumah masing-masing.
Majulah Sukan untuk Mymanutd!!!
-by aneep (blogmaster)












